Selasa, November 10, 2009

Bajet Melaka 2010

MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Melaka memperuntukkan Bajet 2010 berjumlah RM375 juta, atau peningkatan tambahan 20.1 peratus berbanding bajet tahun lepas sebanyak RM312.3 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika membentangkan bajet itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata bajet 2010 sekali lagi merupakan bajet lebihan sebanyak RM200,000, untuk enam tahun berturut-turut sejak 2005.

"Hasil kerajaan negeri dijangka meningkat kepada 20.1 peratus kepada RM375.2 juta berbanding RM312.4 juta pada tahun lepas," katanya di Seri Negeri, di sini Isnin.

Katanya bajet lebihan itu berasaskan kerajaan Melaka melaksanakan dasar perbelajaan berhemat yang dilakukan dengan teliti, cekap, berkesan dan berjimat sehingga memperoleh sijil tanpa teguran daripada Ketua Audit Negara ke atas akaun awam kerajaan negeri Melaka bagi tahun 2008.

Beliau berkata pelaksanaan bajet 2010 Melaka adalah berasaskan kepada empat strategi utama iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik, merealisasikan visi dan misi Melaka Maju 2010 berteraskan Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

"Kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terulung akan diperkukuh selain merevolusikan pengurusan perkhidmatan kerajaan untuk mencapai prestasi perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi," katanya.

Mohd Ali berkata bagi peruntukan mengurus, sejumlah RM68.9 juta disediakan untuk emolumen, RM96.8 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM192.2 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM15.6 juta untuk perbelanjaan lain dan RM1.5 juta diperuntukan untuk pembelian aset.

"Peruntukan bagi pembangunan pula sejumlah RM127.4 juta iaitu keperluan infrastruktur berjumlah RM91.8 juta, perumahan (RM10.5 juta), pertanian (RM4.6 juta), sosial (RM12.1 juta) dan pembangunan masyarakat (RM8.4 juta).

Mengenai prestasi ekonomi, Mohd Ali berkata Melaka turut terjejas akibat krisis ekonomi dan mencatatkan pertumbuhan negatif 6.2 peratus pada suku tahun pertama 2009.

Namun, beberapa petunjuk ekonomi Melaka masih bertahan dan menunjukkan peningkatan positif bagi tempoh Januari hingga Jun 2009 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Contohnya bilangan pelancong meningkat 24.6 peratus iaitu 4.05 juta pada enam bulan pertama tahun ini berbanding 3.26 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Melaka juga mencatatkan cukai jualan sebanyak RM253 juta bagi tempoh yang sama berbanding RM153.6 juta iaitu peningkatan sebanyak 64.7 peratus yang disumbangkan kebanyakan oleh peningkatan bilangan pelancong.

Beliau juga berkata kerajaan persekutuan, menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PKE) menyuntik peruntukan sebanyak RM78.6 juta dalam PKE Pertama yang melibatkan 1,526 projek.

"PKE Kedua pula bernilai RM236.8 juta yang melibatkan 1,554 dan PKE ini telah menjadi pemangkin ekonomi dalam negeri serta meransang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat."

Bagi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-13 yang akan dianjurkan oleh Melaka pada 10 Jun hingga 19 Jun 2010, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM105.7 juta bagi membina baru dan menaik taraf kemudahan sukan untuk temasya tersebut.

0 ulasan:

FOLLOWERS

PENGENALAN

Foto saya
Persatuan Anak Melaka diPerantauan ( PERAWAN ) merupakan pertubuhan badan bukan kerajaan ( NGO ) yang ditubuhkan bagi menyatukan jalinan silaturrahim dikalangan Anak Melaka di perantauan khususnya di Lembah Klang. Ia diasaskan oleh berapa orang pencinta Islam yang berasal dari MELAKA yang menetap di sekitar Kuala Lumpur pada bulan April 2008. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, akhirnya ia didaftarkan secara rasmi pada Isnin, 1 Ramadhan 1429/1 September 2008. Penyertaan Anak – Anak Melaka di Perantauan dalam PERAWAN amat diharapkan. Sebarang cadangan dan komentar boleh di emailkan kepada perawan2008@yahoo.com.

SEMBANG - SEMBANG


ShoutMix chat widget

COMMUNITY

 
© 2008 - [ Twirl ] diseñado por doxs | templates