Isnin, November 02, 2009

PROGRAM QURBAN PERAWAN SEMPENA HARI RAYA QURBAN 1430H


Persatuan Anak Melaka diPerantauan ( PERAWAN ) dengan Kerjasama Badan Perhubungan PAS Melaka akan menganjurkan Program Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha/Hari Raya Qurban 1430 H.

Untuk makluman,bayaran untuk 1 bahagian berjumlah RM360 dan daging korban yang disumbangkan ini akan diagihkan kepada golongan fakir miskin disekitar negeri Melaka. Justeru, sesiapa yang berminat boleh menghubungi Ust. Khairul Hidayat ( 013-2007425/012-6484280 ) atau email di : perawan2008@yahoo.com sebelum/pada 16 Nov 2009 ( Isnin ).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Barang siapa yang menyembelih (qurban) sebelum solat (‘idul adha), maka ia menyembelih untuk dirinya, dan barang siapa yang menyembelih sesudah solat solat dan dua khutbah, maka ia telah menyempurnakan tata caranya dan memenuhi sunnah orang-orang islam.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selasa, Oktober 27, 2009

Sukma: Melaka 'menyeleweng'-Berita Harian


Tuan rumah mahu teruskan hajat masuk semua jenis sukan tanpa had

TEMASYA Sukan Malaysia XIII, Mei depan, berdepan risiko 'tergelincir' daripada objektif utama penganjurannya ekoran ketegasan penganjur, Melaka, untuk memasukkan 'semua jenis sukan tanpa had'.

Pendirian itu, diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukma Melaka 23 Julai lalu, adalah cubaan terbaru penganjur untuk ‘meramaikan’ jumlah penyertaan selepas pernah ditolak sebelumnya.

Ianya kerana pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Sukma Julai tahun lalu, sudah ditetapkan betapa temasya di Melaka akan hanya menyenaraikan 18 jenis sukan wajib selain tujuh sukan pilihan.

Ketetapan sama dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat ketiga jawatankuasa sama, 26 Februari lalu - sehingga penganjur mengubah pendirian mereka.

“Penetapan jumlah sukan dibuat mengambil kira faktor seperti kemampuan tuan rumah seperti memiliki gelanggang dan tempat penginapan bersesuaian, jumlah pegawai teknikal mencukupi serta kemudahan pengangkutan memuaskan.

“Usaha Melaka membenarkan semua sukan tanpa ada cukup masa untuk kajian kesesuaian mengenai semua faktor penting dilakukan, bakal mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah,” kata satu sumber.

Namun usaha melobi sudah dibuat, menerusi kiriman surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Difahamkan, Melaka mahu 10 lagi jenis sukan dimasukkan untuk temasya itu.

Andainya Ahmad Shabery ataupun MSN membenarkan permintaan itu, ia mampu memulakan amalan yang boleh mengakibatkan matlamat sebenar penganjuran Sukma disisihkan.

Kerana temasya Sukma meletakkan sasaran sebagai medan mencungkil bakat muda berpotensi untuk mewakili negara di pentas tertinggi - dengan peruntukan tinggi sebagai persiapan - bukannya sebagai ‘temasya berbaur pelancongan.’

Khamis, September 24, 2009

Kerajaan Melaka perlu serius tangani gejala sosial dikalangan remaja


Pendedahan akhbar Berita Harian baru – baru ini berhubung gejala sosial dikalangan remaja di sekitar kawasan Pantai Crystal Bay, Alai perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya pimpinan kerajaan Negeri Melaka.

PERAWAN berharap pihak kerajaan dapat meningkatkan penguatkuasaan dikawasan tersebut disamping memberikan kefahaman Islam kepada remaja – remaja yang terlibat.

Sebelum ini, kawasan pantai Crystal Bay sering menjadi pilihan kebanyakan keluarga untuk beristirahat dan beriadah. Namun, kini, lokasi itu dikatakan menjadi tempat ‘buat wayang’, sehingga menyebabkan segelintir penduduk tempatan menyuarakan rasa kurang senang mereka.

Kawasan berkenaan menjadi tumpuan golongan yang mahu melakukan maksiat kerana tersorok apabila terdapat banyak pokok yang membolehkan mereka berteduh dari panas matahari. Selain berasmara di bawah pokok, tempat duduk sepanjang pantai itu juga dikuasai mereka hingga menyakitkan mata pengunjung berkeluarga yang datang ke situ.

Menurut seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Rozdan, 40, berkata kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai membawa ahli keluarga untuk bersantai tidak jauh dari bandar raya dan dalam masa sama, turut menjadi lokasi popular pasangan bercinta untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.

“Setiap hujung minggu atau cuti umum, saya selalunya akan membawa keluarga ke pantai ini kerana tidak terlalu jauh berbanding pusat rekreasi lain.

“Namun, saya kesal kerana setiap kali datang, pasti ada pasangan yang melakukan perbuatan tidak senonoh, malah pernah kami sekeluarga terpaksa pulang awal kerana tidak sanggup melihat aksi mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Justeru, PERAWAN berharap pihak kerajaan negeri serius menagani masalah sosial yang berlaku dalam memastikan generasi muda yang bakal memimpin pada masa akan datang benar – benar berkualiti.

Warna - Warni PERAWAN di rumah terbuka PAS Melaka

Dr. Mat Sah menyampaikan ucapan dirumah Terbuka PAS Melaka
Pengunjung lelaki mengambil makanan
Pengunjung perempuan turut serta mengambil makanan
Dr. Mat Sah beramah mesra dengan tetamu yang hadir

Timbalan pengerusi PERAWAN turut hadir

Rabu, September 16, 2009

Rumah Terbuka PAS Melaka


Salam Aidilfitri...

Semua Anak Melaka di Perantauan dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka AidilFitri PAS Melaka pada 22 September 2009. Berikut merupakan makluman program tersebut :

Tarikh : 22 September 2009
Hari : Selasa
Tempat : Markaz PAS Bukit Katil, Melaka
Masa : 3.00 ptg – 6 ptg


Di kesempatan ini juga, PERAWAN ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI. MAAF ZAHIR & BATIN kepada semua anak MELAKA di perantauan. Semoga kehadiran syawal ini mengukuhkan ukhuwah dikalangan kita bersama..

Khamis, September 10, 2009

Jom tingkatkan Ibadah dalam 10 Ramadhan yang terakhir


Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW dilakarkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah 'mengikat kainnya'.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah 'mengikat kainnya'.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta' menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: "Solat! solat!"

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman

Ibn Abi 'Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: "

Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak". (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini)

Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi'en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi'en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud,

Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari)

Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu". (Riwayat Abu Dawud).

Penjelasannya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa'd berkata:

Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)

Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata:

"Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).

Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5)

Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata:

"Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari". (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi:

Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa' fu anni

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud:

"Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak". (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

Selasa, September 08, 2009

Sekitar Majlis Berbuka Puasa PERAWAN

6 Sept 2009( Ahad ) :Persatuan Anak Melaka di Perantauan ( PERAWAN ) telah berjaya mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama ahli – ahli PERAWAN bertempat diKompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor. Kehadiran yang turut disertai oleh penasihat PERAWAN, Ust. Ghani Abdul Rahman mendapat sambutan hangat dikalangan ahli – ahli PERAWAN. Dianggarkan sekitar 70 orang ahli PERAWAN hadir bersama keluarga masing – masing sejak dari pukul 6.30 petang.

Program yang dimulakan dengan Majlis berbuka puasa, kemudian diteruskan dengan solat maghrib dan solat Isya’ berjamaah dan disusuli dengan solat sunat tarawikh dan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ust. Ghani Abdul Rahman berjaya menarik perhatian mereka yang hadir. Al – Fadhil Ust. Ghani Abdul Rahman mengingatkan kepada ahli PERAWAN akan penjagaan hati dan ruh dan dalam membantu gerak kerja perjuangan ISLAM.


Program berakhir dengan sumbangan PERAWAN kepada Ust. Ghani Abdul Rahman bagi menyampaikan sumbangan tersebut kepada mereka yang kurang berkemampuan di negeri Melaka. Di peringkat PERAWAN mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang hadir dan juga mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program tersebut. InsyaAllah ,PERAWAN akan mengadakan beberapa lagi aktiviti program bagi mengukuhkan ikatan ukhuwah dikalangan ahli PERAWAN.

FOLLOWERS

PENGENALAN

Foto saya
Persatuan Anak Melaka diPerantauan ( PERAWAN ) merupakan pertubuhan badan bukan kerajaan ( NGO ) yang ditubuhkan bagi menyatukan jalinan silaturrahim dikalangan Anak Melaka di perantauan khususnya di Lembah Klang. Ia diasaskan oleh berapa orang pencinta Islam yang berasal dari MELAKA yang menetap di sekitar Kuala Lumpur pada bulan April 2008. Setelah melalui beberapa siri perbincangan, akhirnya ia didaftarkan secara rasmi pada Isnin, 1 Ramadhan 1429/1 September 2008. Penyertaan Anak – Anak Melaka di Perantauan dalam PERAWAN amat diharapkan. Sebarang cadangan dan komentar boleh di emailkan kepada perawan2008@yahoo.com.

SEMBANG - SEMBANG


ShoutMix chat widget

COMMUNITY

 
© 2008 - [ Twirl ] diseñado por doxs | templates